fbpx
Harta Pusaka

5 Perkara Tentang Duit Arwah Yang Anda Kena Tahu.

0

Berikut merupakan 5 perkara tentang duit arwah yang anda kena tahu. Namun sebelum anda ketahui apakah 5 perkara tersebut rasanya anda perlu tahu norma masyarakat di Malaysia ini. Menerusi pemerhatian TF, rata-rata masyarakat Malaysia bukanlah dalam kalangan yang berkemampuan. Nak-nak lagi zaman sekarang, RM50 pun boleh habis buat beli pampers anak je. Fulus keluar macam air. Semua benda perlukan fulus. Kecuali cinta… Ahhh itu lagilah poyo! Cinta lagi lah banyak pakai fulus. Dapat pulak aweks atau pakweks materialistik sekejap je kempis walet. Yess..memang semua benda perlukan fulus. M.A.T.I pun perlukan fulus.

Selepas kematian seseorang pertama sekali for sure kita akan panggil tukang urus dan mandi jenazah. Betul tak? Lepas tu bila ramai yang datang melawat, wakil keluarga pula akan bertanya samada arwah ada berhutang dengan sesiapa atau tak sehinggalah majlis pengkebumian dilaksanakan. Dan mereka yang datang melawat tu pulak biasanya akan sedekah duit pada waris. Lepas dah setel pengkebumian jenazah semua tu, sebelah malamnya pula akan diadakan kenduri tahlil arwah. Persoalannya di sini adalah adakah semua yang melibatkan duit dari pengurusan jenazah, pengkebumian hinggalah ke tahlil boleh menggunakan duit peninggalan arwah???

Sekarang kos pengkebumian tak lari RM2000-RM3000. TF nak anda semua cek dalam akaun ada tak amaun RM2000- RM3000??? Kalau ada alhamdulillah. Kalau tak ada??Lepas tu pulak ditakdirkan mak atau ayah anda meninggal semalam, macamana nak bayar upah Tok Adi Si Penggali Kubur? Macamana nak bayar katering untuk kenduri tahlil arwah malam tu??

Ini Perkara Yang Boleh & Tak Boleh Guna Duit Arwah

# Perkara 1 – Pengurusan Jenazah

Sekarang kos nak urus jenazah bukan lagi bayar ikut ikhlas hati. Kalau ikut ikhlas hati, memang ada yang tahap kedekut RM10 je dia bagi. Eh! Agak-agaklah. Korang tak kesian ke pada tukang mandi jenazah ni. Nak menghadap jenazah, mandi jenazah, silap-silap jenazah bangun (haaa…tu dah masuk cerita lain pulak tu).

Demi mengelakkan servis mereka diperkotak-katikkan oleh golongan kedekut, tukang urus jenazah siap dah tetapkan standard cost mereka. Fulus puluh-puluh ni mereka tak pandang dah. Yang mereka pandang fulus ribu-ribu. Lepas tu jangan pulak kata mereka demand. Mereka tak demand tapi mereka kena demand. TF sendiri waktu sodok tanah untuk tanam arwah mak sedara mencungap weiii!!! Disebabkan skop kerja tukang urus jenazah ni agak rumit maka pakej mandi, kafan dan tanam jenazah memang cecah ribu.

Di Kuala Lumpur standard cost untuk pengurusan jenazah boleh mencecah RM2000 – RM4000. Boleh ke anda semua sediakan on da spot? Nak-nak pulak hujung bulan fulus dah nyawa-nyawa ikan. Tengok pulak dalam akaun arwah banyak fulus. Cukup ni nak tanggung segala kos. Pakai jelah. Eh,Eh…!! Sesenang je nak pakai. Why?Why? Tak boleh ke??

Boleh… Tapi hanya untuk perkara-perkara yang wajib sahaja. Apa perkara wajib? Contohnya seperti kain kafan, wajib. Mandi jenazah wajib. Semua perkara yang Allah S.W.T wajibkan boleh kita guna duit arwah.

Kalau time mandi jenazah ada tukang mandi jenazah tu mintak cincin arwah ke apa ke (sesetengah tempat masih ada amalkan) mintak maaf ya, itu harta pusaka, tak boleh bagi! Bila melibatkan harta pusaka ni ia dah termasuk dalam urusan faraidh. So hati-hati nak mengagih-agihkan barang peninggalan arwah ni. Belajar mandi, urus jenazah semua tu elok dah tapi tentang harta pusaka tak belajar betul-betul, lepas tu pulak mintak bukan-bukan. Yang ni tak berapa nak elok sangat. Okay…faham??

5 perkara tentang duit arwah

Lepas tu apa pulak yang tak boleh??? Yang tak boleh adalah perkara-perkara yang tak wajib contohnya batu nisan. Allah S.W.T tak pernah mewajibkan letak batu nisan atas kubur. Batu Nisan hanyalah adat dan budaya kita. Haa yang part ni tak boleh guna duit arwah walaupun arwah pesan sesiap “Yang..nanti I meninggal you pakailah duit I dalam laci tu tempah batu nisan size roman pillar. Material dia marmar. Ok yang??” Tak Boleh! Duit arwah tak boleh digunakan untuk buat batu nisan sebab ia bukan benda wajib! Kalau nak tunaikan juga hasrat arwah, senang cerita collect lar duit adik beradik. Setel!

#Perkara 2 – Kenduri Tahlil Arwah

The Fulus tak nak berbahas tentang boleh atau tak buat kenduri tahlil arwah ni, cumanya kita nak kongsi tentang boleh atau tak guna duit arwah untuk kenduri tahlil arwah.

Yelah, kadang-kadang ada yang over sangat buat kenduri tahlil arwah. Siap tempah kad! Wangi pulak tu. Wow! Selamat tak diletaknya bedak je dekat kad tu. Kalau tak berdebu semeja bila bukak. Lepas tu makanan kenduri tahlil pulak satay kuah dal, udang galah masak lemak cili api, dessert panna cota with blueberries cheese serve with vanilla ice-cream on top of it. Perghhh!!! Dah macam masuk pertandingan MasterChef! Yang lagi over siap berlumba-lumba pulak tu kenduri tahlil siapa makanan dia lagi best! Jemah ke Jenab?? Astaga…

Nak sedia makanan kosnya bukan murah. Yang datang kenduri tahlil arwah pulak beratus-ratus orang. Sekali tengok dah macam kenduri kahwin! Kalau satu kepala dah RM10, sekali datang 100 orang tak ke RM1000 nak kena standby untuk majlis tahlil 1 malam saja? Mane nak cekau fulus ni? Bukak walet empty. Tengok akaun empty. Koman-koman kenduri tahlil nak kene buat 3 hari ni. Ermmm.. Pakai duit arwah jelah. Uihhhh..Nauzubillah minzalik. Mintak maaf. T.AK. B.O.L.E.H pakai duit arwah untuk kenduri tahlil arwah!

5 perkara tentang duit arwah

Semasa zaman Rasulullah dulu, beliau pernah meminta para sahabat menyediakan makanan untuk ahli keluarga Jaafar Bin Abi Talib yang syahid di medan Mu’tah. Ini kerana Rasulullah tahu bahawa ahli keluarga Jaafar mesti sedih sebab hilang ketua keluarga dan sedang sibuk urus tuntutan si mati (pusaka). Justeru Rasulullah serta para sahabat berbuat demikian untuk mengurangkan kesedihan yang ditanggung, serta tidak mahu menyusahkan keluarga Jaafar.

.

Dahulu kala, zaman Nabi Muhammad dan sahabat, orang yang hidup akan memberi makan kepada ahli keluarga si mati. Tapi bila melihat situasi sekarang dah terbalik pulak. Keluarga arwah atau si mati pulak yang kena beri makan kepada orang yang hidup.

Sumber : Pembahagian Harta Pusaka Dan Kepentingan Wasiat oleh Ustaz Ghazali Ibrahim (mukasurat: 161-163)

So disebabkan kenduri tahlil bukan benda wajib maka nak buat kenduri tahlil tak boleh guna duit arwah. Tidak ada dalam islam yang mewajibkan umatnya membuat kenduri tahlil arwah. So antara alternatif lain yang ada kalau nak sangat buat kenduri tahlil arwah adalah guna fulus sendiri atau fulus yang orang ramai sedekah sewaktu majlis pengkebumian tadi. Ini kerana fulus tu dikira ‘Duit Bukan Pusaka’.

#Perkara 3 – Hutang

Semasa zaman Nabi, hutang adalah perkara pertama yang Nabi Muhammad akan tanya. Mungkin ramai yang pernah dengar kisah ini.

Nabi Muhammmad tak mengimamkan solat jenazah si mati apabila mendapati beliau masih ada hutang yang belum dijelaskan iaitu sebanyak 3 dinar. Dan disebabkan seorang khalifah memberi jaminan akan membayar hutang si mati tadi maka barulah Rasulullah bersetuju untuk menyempurnakan solat jenazah si mati tadi.

Natijahnya zaman sekarang hampir semua orang berhutang. Hatta yang mati pun masih ada yang meninggalkan hutang. So nak buat macam mana ni?? Simple je. Setelkan dulu pengkebumian semua-semua tu, dan waris-waris bolehlah tampil bantu selesaikan hutang-hutang arwah tadi. Karang tak pasal-pasal mereput jenazah sementara nak tunggu hutangnya setel.

So TF nak highlight dekat sini, let say arwah ada berhutang dengan sesiapa maka waris B.O.L.E.H bayar hutang-hutang tersebut menggunakan duit arwah.

#Perkara 4 – Wasiat

Seperti yang pernah di share dalam The Fulus sebelum ini, waris fardhu jangan gatal-gatal nak tuntut wasiat ya. TAK SAH! Kalau arwah ada buat wasiat pada anak saudara ke, kawan-kawan dia ke, paling banyak pun 1/3 dari harta arwah, maka anak-anak arwah atau waris arwah kena ambil harta arwah dan kemudian berikan kepada penama yang arwah wasiatkan tadi.

Wasiat dengan 1/3 daripada baki harta. Menurut ijmak ulamak, wasiat ini dikemudiankan daripada hutang tetapi diutamakan berbanding hak pewaris.

مِنۡۢ بَعۡدِ وَصِيَّةٍ يُّوۡصِىۡ بِهَاۤ اَوۡ دَيۡنٍ

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. (An-Nisa’: 11)

Dalam ayat ni disebut wasiat terlebih dahulu, maksudnya selesaikan wasiat dulu barulah pembahagian faraidh. Walaubagaimanapun wasiat ni mestilah dilaksanakan selepas hutang arwah diselesaikan.

Ia sebagai satu tanda keprihatinan dan galakan agar pewaris menunaikannya kerana wasiat sering dipandang remeh oleh para pewaris kerana menanggap ia hanyalah sumbangan si mati. Lepas tu ada pulak yang berpendapat wasiat ini merampas hak mereka sebagai pewaris.

#Perkara 5 – Faraidh

Lepas dah tolak-tolak semua harta-harta arwah utk kos mandi jenazah, pengkafanan, pengkebumian, tolak harta utk wasiat, tolak hutang semua-semua tu so harta ni barulah kita faraidhkan. Itu pun kalau ada lagi balance utk difaraidhkan. Kalau tak ada lepas tu yang lagi sedihnya negatif pulak, so anda bolehlah faraidhkan nombor-nombor negatif tu which is hutang.

Kesimpulan

Berikut merupakan turutan yang perlu diikut dalam menguruskan harta arwah:

  1. Pengurusan Jenazah (hanya yang wajib boleh guna harta arwah, batu nisan tak wajib so tak boleh)
  2. Penyelesaian Hutang
  3. Kos Kenduri Tahlil Arwah (tak boleh guna fulus arwah)
  4. Wasiat (berikan dahulu wasiat untuk bukan waris)
  5. Faraidh

Kalau di masjid kampung-kampung atau tempat anda tinggal ada menyediakan perkhidmatan Khairat Kematian, eloklah anda turut serta. Sebab ia boleh mengelakkan kita menyalahgunakan harta. Semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat kepada pembaca. InsyaAllah. Wallahualam.

Sumber:

Kitab Fikah Mazhab Syafie Menghuraikan Bab Wakaf, Wasiat dan Faraidh oleh Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji (mukasurat: 1001-1003)

Klik di sini untuk dapatkan info jelas tentang pengurusan harta pusaka oleh Dai’ Ilmu Faraidh, Ustaz Mohd Khusairi.

Sila baca juga artikel kami yang lain tentang harta pusaka.

Share and Enjoy !

0Shares
0 0

Pendedahan Akaun & Harta Saidina Uthman Bin Affan Yang Masih Wujud Sampai Sekarang Mengejutkan Ramai Pihak

Previous article

3 Cara Nak Berdepan Dengan Bos & Rakan Sekerja Toksik Secara Produktif

Next article

Comments

Comments are closed.

sponsor
Login/Sign up