Harta Pusaka

7 Perkara Isteri Wajib Tahu Selepas Suami Meninggal

0

7 perkara tersebut adalah harta sepencarian, kos pengebumian, majlis tahlil, hutang arwah, waris-waris yang akan tampil untuk menuntut hak, harta alih dan harta tak alih, dan cara menguruskan harta yang terbahagi kepada tiga (3) iaitu melalui amanah raya, JKPTG dan mahkamah. 7 perkara tersebut adalah perkara wajib yang anda perlu tahu sekiranya suami anda meninggal dunia.

Kenapa perkara-perkara ini perlu diberi perhatian oleh para isteri luar sana? Walaupun isu nampak remeh tapi tak semua tahu apa perlu di buat sekiranya berdepan situasi yang mana hari ni laki korang masih hidup, tetiba esok lusa dah meninggal. Rentetan daripada isu-isu yang pernah timbul sebelum ini seperti perbalahan dan perpecahan ahli keluarga yang membawa kepada perkara tak sepatutnya, ibu bapa hilang rumah sebab hak milik dah pindah ke anak, juga kes isteri dipaksa keluar dari rumah oleh family mertua walaupun rumah tu adalah hasil pembelian menerusi harta sepencarian si isteri dan suami dan macam-macam lagilah!

7 perkara isteri wajib tahu selepas suami meninggal dunia

Percayalah! Tak pernah tak timbul konflik bila melibatkan isu berkenaan pembahagian harta pusaka milik arwah kepada waris-waris. Maka, untuk mengelakkan daripada wujudnya isu-isu yang tak best dan bagi mempersiapkan diri kita untuk berhadapan dengan hari tersebut maka The Fulus menyeru kaum-kaum isteri luar sana supaya cakna berkenaan perkara-perkara yang akan dibahaskan sebentar lagi. InsyaAllah konflik-konflik yang bakal timbul selepas kematian suami anda dapat anda tangani dengan bijak mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Islam.

#1 Harta Sepencarian

Cuba fahamkan betul-betul apa yang dimaksudkan dengan harta sepencarian. Di sini harta sepencarian membawa maksud harta yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri semasa perkahwinan mereka berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan syarak.

Ianya adalah harta yang diperolehi pasangan sepanjang tempoh perkahwinan iaitu melibatkan harta alih seperti wang tunai dan harta tak alih seperti rumah dan tanah. Walaupun harta tersebut dibeli menggunakan duit gajinya sendiri tanpa melibatkan pasangan.

Harta sepencarian ni tak automatik macam hukum faraidh tapi sebarang tuntutan berkenaan harta sepencarian mesti dibuat di Mahkamah Syariah. Kadar maksima adalah 50% dari harta pasangan. Maka harta sepencarian ini yang layak membuat tuntutan adalah isteri atau suami. Namun terdapat juga kes tuntutan dibuat oleh anak-anak si mati dan ia diterima di mahkamah.

#2 Kos Pengebumian

Boleh dikatakan sekarang kos pengebumian tak lari dari RM2000-RM3000. Kalau di belah-belah KL ada sehingga mencecah RM4000-RM5000. Isunya di sini, bagaimana anda nak tanggung segala kos pengebumian arwah suami anda, sekiranya ditakdirkan Allah S.W.T mereka meninggal esok lusa?

7 perkara isteri wajib tahu selepas suami meninggal dunia

Kalau isteri yang bekerjaya rasanya tak ada masalah sangat kot. Tapi tengok jugak berapa gaji korang. Mana nak uruskan kos pengebumian arwah suami lagi, nak tanggung anak lepas suami meninggal lagi? Kalau dulu ada dua sumber income lega sikit. Tapi sekarang nak kena sustain seorang diri! Kalau monthly income korang tinggi no hal. Tapi macam mana pulak kalau yang bergaji rendah atau pun isteri-isteri yang tak ada gaji terus ni, apa citer? Tetiba memasing dah menggelisah! Sabar…jom TF tunjukkan caranya.

Sekiranya isteri-isteri tidak memiliki fulus on da spot untuk menguruskan pengebumian arwah suami tadi, isteri-isteri ini boleh menggunakan duit arwah untuk melunaskan bayaran bagi perkara-perkara wajib semasa menguruskan jenazah yang mana kos terlibat adalah seperti pembelian kain kafan, mandi jenazah dan apa-apa jua perkara yang Allah S.W.T wajibkan boleh guna duit arwah.

#3 Majlis Tahlil

Banyak perbahasan mengenai boleh atau tak mengadakan majlis tahlil arwah. Bagi TF ia terpulang kepada individu itu sendiri. Sekiranya mampu buatlah. Tak ada masalah. Tapi sekiranya tak mampu, lepas tu sibuk jugak nak buat majlis tahlil padahal banyak lagi perkara berkenaan arwah yang perlu diselesaikan dengan segera contohnya hutang arwah, wasiat dan sebagainya…haaaa part ni tak berapa best! Padahal perkara-perkara tadi merupakan perkara wajib yang harus diutamakan terlebih dahulu berbanding majlis tahlil. Kalau bab kos pengebumian tadi, isteri-isteri dibenarkan guna duit arwah tapi hati-hati ye, untuk majlis tahlil arwah isteri-isteri tidak dibenarkan memakai duit arwah untuk tempahan catering dan sebagainya. Sendiri order sendiri bayar!

Semasa zaman Rasulullah  dulu, beliau pernah meminta para sahabat menyediakan makanan untuk ahli keluarga Jaafar Bin Abi Talib yang syahid di medan Mu’tah. Ini kerana Rasulullah tahu bahawa ahli keluarga Jaafar mesti sedih sebab hilang ketua keluarga dan sedang sibuk urus tuntutan si mati (pusaka). Justeru Rasulullah  serta para sahabat berbuat demikian untuk mengurangkan kesedihan yang ditanggung, serta tidak mahu menyusahkan keluarga Jaafar.

.

Dahulu kala, zaman Nabi Muhammad ﷺ dan sahabat, orang yang hidup akan memberi makan kepada ahli keluarga si mati. Tapi bila melihat situasi sekarang dah terbalik pulak. Keluarga arwah atau si mati pulak yang kena beri makan kepada orang yang hidup.

Sumber : Pembahagian Harta Pusaka Dan Kepentingan Wasiat oleh Ustaz Ghazali Ibrahim (mukasurat: 161-163)

Memandangkan dalam Islam sendiri tidak mewajibkan anjur majlis tahlil arwah maka isteri-isteri tak boleh sewenang-wenangnya ambil fulus arwah kemudian guna untuk bayar Jenab Catering. Sup sirip ikan yu, siput sedut masak blackpepper, aiskrim goyang ke, pepandai order pepandai lah bayar. Ataupun kalau dah terorder, tak boleh nak cancel lepas dah terbaca post ni, nak pakai fulus arwah tak boleh, sendiri punya fulus pulak yilek, maka isteri-isteri mithali ini tadi bolehlah menggunakan fulus orang ramai sedekahkan semasa majlis pengebumian tadi. Namun seperkara yang TF nak nasihatkan, sebenarnya islam itu mudah, jangan kita pulak yang buat ia jadi payah!

#4 Hutang Arwah

Mesti ramai yang pernah dengar isu suami mati tinggalkan hutang pada isteri. Tapi amat jarang kita dengar isu suami mati tinggalkan madu untuk isteri. Ke sebenarnya dua-dua isu ni sama naik? Wallahualam.

Sebenarnya isu hutang ni merupakan isu yang sangat sensitif. Siapa je yang tak berhutang betul tak? Rata-rata ramai antara kita yang berhutang. TF sendiri pun ada hutang. Tapi macam mana nak uruskan hutang dengan bijak tu yang payah. Ramai dalam kalangan kita rasa suatu hari nanti mereka mampu bayar balik pinjaman peribadi, pinjaman rumah, pinjaman kad kredit dan jua pinjaman yang mereka buatlah! 

7 perkara isteri wajib tahu selepas susmi meninggal dunia

Tapi cuba think out of the box? What if tak ada dah suatu hari tu? Lepas tu apa yang jadi pada hutang-hutang korang. Sian oi kalau ada anak bini, lepas tu yang korang tinggalkan pada mereka adalah hutang! Untuk isteri-isteri luar sana, isu ini sangat penting dan penting okay untuk korang tahu apa dan berapa hutang suami korang supaya satu hari nanti elok-elok tidur atas tilam empuk coway, tetiba terpaksa tidur bawah jambatan!

Kita perlu bersiap siaga berdepan kematian. Selalunya bila kurang kefahaman atau wujud sikap suka mengelak berdepan perkara sebegini adalah punca utama ada antara kita yang terpaksa berurusan dengan pemiutang (institusi kewangan) arwah suami. Untuk para suami soleh luar sana pulak, korang pun mesti tak nak tinggalkan anak bini korang dalam keadaan dibelenggu hutang korang betul tak?

“Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

Hadis riwayat at-Tirmidzi

Walaupun waris-waris arwah boleh tampil untuk bantu selesaikan hutang, tapi kena ingat berapa ramai je waris yang sanggup nak tolong. Cuba tanya diri korang sendiri, kalau ada waris korang yang meninggal, lepas tu ada hutang pulak yang perlu dilunaskan, berapa percent korang sanggup bantu untuk setel hutang arwah tadi sedangkan hutang sendiri pun keliling pinggang?

Sewaktu zaman Nabi lagi hutang adalah perkara pertama yang Nabi Muhammad ﷺ akan tanya lalu menunjukkan betapa pentingnya penyelesaian hutang! Untuk isteri-isteri luar sana, jangan gusar, sekiranya suami pergi dulu dari anda, anda boleh menggunakan fulus arwah suami untuk menyelesaikan hutang arwah suami tadi sekiranya waris enggan membantu selesaikan hutang arwah. Ataupun sewaktu suami masih hidup pujuklah suami sediakan satu pelan takaful untuk korang. Bagi yang blur apa tu takaful cerita dia macam ni. Takaful terbahagi kepada 2 akaun utama; i) perlindungan, ii) simpanan.

Perlindungan datang dari Tabarru’ iaitu derma atau sumbangan yang mana takaful merupakan satu bentuk perancangan harta. Takaful boleh dicadangkan untuk bayar hutang, tebus hak waris dan sebagainya. Ia mampu ringankan beban waris seperti isteri dan anak-anak selepas suami meninggal dunia. Malah Akta Kewangan Islam (IFSA) telah meluluskan hibah takaful pada tahun 2013.

Maksud yang TF cuba sampaikan pada isteri-isteri luar sana, sebelum suami tercinta pergi bertemu sang pencipta, sebaik-baiknya berbincanglah dengan suami untuk sediakan pelan hibah bagi kelangsungan hidup anda dan anak-anak selepas ketiadaan beliau. Sekiranya suami mati meninggalkan hutang kurang-kurang duit hibah tersebut boleh digunakan untuk melangsaikan apa yang tak langsai. Malah, hibah juga mampu menyelesaikan masalah perebutan harta. Wallahualam.

Boleh klik medicalcardonline.my untuk dapatkan pelan hibah serendah RM50 sebulan!

#5 Waris-Waris Yang Akan Tuntut Hak

Selain isteri dan anak-anak, mak ayah suami, datuk nenek dan segala suku sakat atas bawah arwah suami merupakan waris yang berhak ke atas harta suami anda ( bergantung pada situasi ).

#6 Harta Alih & Harta Tak Alih

Harta alih dan harta tak alih ini termasuk dalam kategori harta pusaka.

  • Harta Tak Alih melibatkan rumah dan tanah
  • Harta Alih adalah selain rumah dan tanah. Ia termasuklah fulus (duit), kenderaan, ternakan, barang kemas, pakaian, pinggan mangkuk, sewaan, hasil tanah, tanaman dan sebagainya.

#7 Prosedur Permohonan Harta Pusaka

  • Amanah Raya Berhad : Sekiranya suami anda meninggal, harta yang arwah ada hanyalah fulus semata (wang), maka anda perlu merujuk perkara ini ke amanah raya sekiranya anda ingin buat sebarang tuntutan berkenaan harta arwah. Caj bermula dari 1% hingga 5% untuk kos pengurusan.
    ( Harta Alih sahaja bernilai kurang 600 ribu )
  • JKPTG ( Pejabat Pusaka Kecil ) : Sekiranya arwah suami mempunyai aset seperti rumah, tanah dan sebagainya, tuntutan harta boleh dibuat menerusi JKPTG ini tadi.
    ( Harta Tak Alih sahaja atau Harta Tak Alih campur Harta Alih bernilai kurang RM 2 juta )
  • Mahkamah Tinggi Sivil : Tuntutan harta pusaka boleh dibuat terus ke Mahkamah Tinggi Sivil terutamanya apabila arwah suami meninggalkan wasiat.
    ( Harta Tak Alih sahaja atau Harta Tak Alih campur Harta Alih bernilai 2 juta dan ke atas atau Harta Alih sahaja bernilai 600 ribu ke atas )
  • Mahkamah Syariah : Permohonan Sijil Faraidh ( sesetengah institusi kewangan menerima sijil faraidh untuk proses pengeluaran duit tanpa perlu perintah pusaka )

Sila baca artikel kami yang lain berkenaan harta pusaka

Share and Enjoy !

0Shares
0 0

Anda Mungkin Pernah Tertipu Dengan Teknik Pemasaran “Popcorn” Yang Licik Ini

Previous article

Jom Menang Geran Perniagaan SUPERB Hingga RM500,000!

Next article

You may also like

Comments

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

More in Harta Pusaka